Kamis, 03 Juni 2010

VAKSIN DARI HAIWAN

Soalan; assalamualaikum ustaz, baru-baru ini kita di gemparkan dengan berita penemuan sepisis cicak gergasi di kepulauan borneo yang berharga jutaan ringgit yang mana reptilia tersebut dikatakan digunakan untuk membuat vaksin penyakit HIV dan Anti Tumor. Soalan saya ialah apa hukum orang Islam menggunakan vaksin tersebut?

Jawapan;

Islam tidak membenarkan penganutnya untuk memasukkan sebarang bahan ke dalam tubuh mereka (sama ada minuman, makanan, ubat-ubatan atau sebagainya) melainkan yang halal dan bersih (tidak najis). Khusus berkenaan ubat-ubatan, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (bermaksud); “Sesungguhnya Allah lah yang menurunkan penyakit dan ubat. Ia menjadikan untuk setiap penyakit ada ubatnya. Maka hendaklah kamu sekelian berubat. Tetapi janganlah berubat dengan bahan yang haram” (HR Abu Daud dari Abi Dardak –radhiyallahu ‘anhu-). Ibnu Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu- berkata; “Allah tidak menjadikan penyembuhan untuk kamu pada bahan yang Ia haramkan ke atas kamu” (HR Imam al-Bukhari). Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- berkata; “Rasulullah menegah ubat yang kotor/keji” (HR Imam Ahmad, Muslim, Ibnu Majah dan at-Tirmizi –rahimahumullah-).

Imam as-Syaukani mengulas; ungkapan Rasulullah “…janganlah berubat dengan bahan yang haram”, memberi pengertian; tidak harus berubat dengan bahan yang diharamkan Allah dari jenis-jenis najis dan juga bahan-bahan lain yang diharamkan sekalipun yang bukan najis. (Nailul-Autar). Dari ungkapan “…menegah ubat yang kotor/keji”, beliau mengulas; nyata dari ungkapan ini bahawa diharamkan berubat dengan segala bahan yang kotor/keji. (Nailul-Autar).

Memahami kenyataan Syarak dan Fiqh di atas, kita dapat memutuskan bahawa; penggunaan vaksin yang terkandung di dalamnya bahan yang haram atau dihasilkan dari bahan-bahan yang haram adalah dilarang oleh Islam. Vaksin tersebut haram disuntik ke dalam tubuh orang Islam. Ini merangkumi vaksin yang dibuat dari babi atau binatang-binatang lain yang tidak halal dimakan. Menurut mazhab Imam as-Syafi’ie; jenis-jenis binatang yang haram dimakan ialah;
1. Anjing dan babi.
2. Binatang-binatang buas dari jenis pemangsa iaitu yang mempunyai taring yang kuat yang digunakan untuk memburu, menerkam dan membunuh mangsanya seperti anjing, singa, serigala, kucing, harimau, musang, memerang dan sebagainya.
3. Burung-burung dari jenis yang mempunyai kuku yang kuat yang digunakan untuk menerkam dan mencederakan mangsanya seperti burung helang, burung nasar, burung rajawali dan sebagainya.
4. Binatang-binatang yang hidup dua alam seperti katak, ular, buaya, penyu, labi-labi dan sebagainya.
5. Binatang-binatang kecil yang merangkak atau melata di atas tanah seperti kala, kumbang, cicak, labah-labah, mengkarung, cacing, ulat, lintah, lipan dan sebagainya.
6. Serangga-serangga seperti semut, lebah, tebuan dan sebagainya.
7. Haiwan-haiwan yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. membunuhnya iaitu kala jengking, burung helang, tikus, burung gagak dan anjing buas. (Lihat Bulughul Maram, hadis no. 685, bab al-Ihram)
8. Haiwan-haiwan yang dilarang membunuhnya iaitu semut, lebah, burung hud-hud, burung suradi dan katak. (Lihat Bulughul Maram, bab al-Ath’imah, hadis no. 1229 dan 1236)
(al-Iqna’, Kifayatul Akhyar, al-Fiqhul Manhaji dan Furu’ al-Masail)

Ubat (termasuk vaksin) yang dibuat dari binatang-binatang tersebut adalah haram dimakan oleh orang-orang Islam dan haram disuntik ke dalam tubuh mereka. Kecualilah dalam keadaan darurat (terpaksa) di mana belum ada ubat/vaksin lain yang menggantikannya dan penggunaannya tidak dapat dielakkan untuk mencegah penyakit yang merbahaya yang boleh membawa maut atau mencederakan tubuh, atau untuk mengubati penyakit di mana tanpanya pesakit boleh maut atau rosak anggota atau menderita sakit yang tidak tertahan. Pada ketika itu haruslah digunakan atas dasar darurat. Dan pada masa yang sama, para saintis Islam hendaklah berusaha mencari alternative kepada ubat tersebut dari bahan yang halal kerana umat Islam tidak harus dibiarkan berterusan menggunakan bahan-bahan yang haram atas alasan darurat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani.
2. Fatwa Syeikh Solih al-Munajjid (islamqa.com)
3. Fatwa Islam Online (http://www.islamweb.net. Fatwa no;96527)
4. Perniagaan Produk Halal, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
5. al-Fatawa at-Thibbiyyah al-Mu’ashirah, Dr. Abdurrahman bin Ahmad al-Jar’ie.
thumbnail
Judul: VAKSIN DARI HAIWAN
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Muamalat (Harta) :

0 comments:

Posting Komentar

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Bamz